Wednesday, 25 July 2012

Imam solat terawih dan witir

Pada 5 Ramadhan 1433 hijrah,Ustaz Saat menjadi Imam solat terawih dan witir dan membaca surah Yaasin.Selepas solat witir,tazkirah  Ramadhan tafsir surah Yaasin.

Surah Yaasin adalah surah yang banyak fadilat,Antara hadis :



 Ata bin Abi Rabah rah. berkata, “Telah sampai kepadaku bahawa Rasulullah s.a.w bersabda, “Sesiapa yang membaca surah Yaasin pada permulaan hari maka segala hajatnya akan dipenuhkan.” (Hadith riwayat  Imam Darimi) 


Nabi Shallallahu 'alaihi wa Sallam bersabda, “Sesungguhnya setiap sesuatu itu memiliki hati dan hati bagi al-Qur'an itu adalah Yasin. Sesiapa yang membacanya, maka Allah akan memberikan pahala bagi bacaannya itu seperti pahala membaca al-Qur'an sepuluh kali.”

Hadis ini diriwayatkan oleh Imam at-Tirmidzi, Sunan at-Tirmidzi, 10/121, no. 2812, Bab Fadhail al-Qur’an. Ad-Darimi, Sunan ad-Darimi, 10/311, no. 3479.
 
 “....Surah Yasin adalah qalbul Qur’an (jantung atau hati al-Qur’an), tidaklah seseorang yang membacanya kerana mengharap keredhaan Allah dan negeri akhirat (Syurga), melainkan akan diampunkan dosanya. Dengan itu, bacakanlah ia kepada orang yang akan mati di antara kamu.” (Hadis Riwayat Ahmad dan an-Nasaa’i. Dinilai lemah oleh ad-Daruquthni, al-Haitsami, al-Albani dan Syu’aib al-Arnauth)
 
 
 
 
 

Tuesday, 24 July 2012

Remaja belasah, cuba tikam ibu

 REMAJA AKHIR ZAMAN...............



Hanya kerana marah ditegur oleh ibunya disebabkan tidak berpuasa, seorang remaja berusia 19 tahun tergamak mencekik, membelasah dan cuba menikam ibunya menggunakan pisau pemotong buah kelapa sawit di Kampung Ladang Pagor, Chenderong Balai di sini kelmarin.

Kejadian berlaku kira-kira pukul 12 tengah hari apabila mangsa, Nurfaridah Abdul Aziz, 42, menegur anak lelakinya itu kerana makan di hadapan seorang lagi anaknya berusia 11 tahun yang berpuasa.

Berang dengan teguran itu, suspek yang juga anak sulung mangsa bergegas ke dapur mengambil sebilah pisau pemotong kelapa sawit lalu menikam Nurfaridah tetapi wanita itu berjaya mengelak.


http://www.utusan.com.my/utusan/Jenayah/20120725/je_06/Remaja-belasah-cuba-tikam-ibu

Keluhan Imam Malik rahimullah....


Monday, 23 July 2012

Mengapa remaja rosak pada masa kini?


Mengapa remaja rosak pada masa kini?



Definisi remaja

Definisi :

Remaja pada umumnya merujuk kepada golongan manusia yang berumur 12-21 tahun. Dari sudut perkembangan manusia, remaja merujuk kepada satu peringkat perkembangan manusia, iaitu peringkat transisi antara peringkat kanak-kanak dan peringkat dewasa.
Semasa seseorang itu mengalami zaman remaja dia akan mengalami pelbagai perubahan yang drastik, termasuklah perubahan jasmani, sosial, emosi, dan bahasa. Akibat daripada itu, orang remaja merupakan orang yang emosinya tidak stabil, dan sentiasa "bermasalah".

Ciri-ciri Manusia Remaja

Suka bergaulan dengan rakan sebaya daripada ibu bapa
Pada peringkat ini, manusia remaja akan mula belajar bergaulan dengan orang lain selain daripada ahli anggota keluarga mereka. Ini bermaksud bahawa peringkat remaja merupakan peringkat perkembangan sosial seseorang. Sehubungan itu, orang remaja adalah suka berkawan dan senang tersinggung oleh masalah sosial.

Suka berangan-angan

Remaja yang normal mempunyai angan-angan sihat mengenai masa depan mereka. Mereka sentiasa memikirkan apa yang akan mereka buat pada masa hadapan. 

Senang Terpengaruh oleh Emosi

Orang remaja merupakan orang yang senang terpengaruh oleh emosi. Ini adalah kerana rasional mereka masih berkembang dan belum sampai ke satu tahap yang mantap.

Sumber :

Pengenalan

Belakangan ini terlalu banyak diperkatakan isu yang berkaitan dengan masalah sosial yang melibatkan remaja. Pelbagai andaian, hujah, cadangan, program dan aktiviti bagi menangani masalah sosial ini diutarakan. Perlakuan sosial yang negatif dalam bentuk devian sosial tidak seharusnya merupakan satu petunjuk ke atas kelemahan masyarakat  untuk membudayakan pembangunan secara positif yang berteraskan prinsip dan nilai-nilai  murni kemanusiaan serta agama.

Pengertian masalah sosial remaja

Secara umumnya masalah sosial  merangkumi berbagai perlakuan  negatif anggota  masyarakat yang tidak membawa sokongan dan keuntungan kepada kekuatan sistem dan struktur ekonomi yang diamalkan  dalam sesuatu masyarakat ataupun negara.

Secara perundangan tidak terdapat definisi yang khusus  bagi mengkategorikan remaja. Akta Pekerjaan Kanak-Kanak dan Orang Muda 1996 mentakrifkan  seorang kanak-kanak adalah mereka yang  berada dalam lingkungan umur 10 hingga 14 tahun. Dalam Akta Pengangkatan  1952,  kanak-kanak didefinisikan mereka yang berumur 21 tahun ke bawah. Walaupun setiap akta ini tidak menjelaskan peringkat umur tertentu, secara umumnya dalam membicarakan masalah remaja, golongan remaja yang perlu ditumpukan adalah yang berumur  di bawah 21 tahun dan sebahagian besar daripada mereka masih dalam alam persekolahan.

Statistik Gejala Sosial Remaja

Di Malaysia,  remaja merangkumi lebih daripada separuh keseluruhan penduduk. Oleh kerana bilangannya yang ramai, maka masalah yang berkaitan dengan kelompok ini juga banyak.

Data dan statistik  banyak menunjukkan keruntuhan akhlak di kalanagan remaja di negara ini adalah semakin serius. Mengikut  Pihak Berkuasa Jenayah Bukit Aman (Berita Harian, 22 September 1993) antara tahun 1990 dan 1992 sahaja, seramai 37602 individu ditahan  bagi kesalahan jenayah harta benda  serta kekerasan. Daripada  jumlah ini, seramai 3450 atau 9.17%  adalah remaja dan dalam kalangan  remaja yang diberkas pula, kesalahan yang dilakukan  boleh dibahagikan kepada jenayah kekerasan dan harta benda.

Perangkaan polis menunjukkan, antara kes jenayah yang selalu dilakukan oleh remaja adalah pecah rumah, rusuhan, pergaduhan sesama mereka, salah guna dadah, mencuri basikal atau motosikal (Utusan Malaysia, Januari 1992).

Jenayah yang dilakukan  oleh remaja  bukan hanya berlaku di kawasan bandar raya atau bandar-bandar besar sahaja, malah di merata tempat di seluruh pelusok negara. Sebagai contoh, di Kedah sahaja, sebanyak 307 kes jenayah  berlaku sepanjang tahun 1991. Daripada jumlah itu, 73 kes membabitkan pelajar sekolah. Mengikut pembahagian kaum, seramai 204 kes melibatkan kaum Melayu, 54 remaja  Cina dan 47 adalah remaja kaum India.

Berdasarkan statistik, kes melibatkan remaja jelas meningkat antara tahun 1990 dan 1992. Pada tahun 1990, sebanyak 657 kes dicatatkan, diikuti 830 kes pada tahun 1991 dan 1487 kes pada tahun 1992.

Satu lagi kesalahan yang melibatkan remaja adalah lari atau hilang dari rumah. Pada tahun 1990, terdapat 1578 kes, 1991 (1981 kes), 1992 (2221 kes) dan 1993 (1485 kes).

Dari segi jenayah melibatkan bahan berbahaya seperti dadah psikoaktif, antara tahun 1990 dan 1992, daripada jumlah 22912 penagih dadah  yang ditahan, 2856 orang (12.46%) adalah remaja.

Statistik seterusnya adalah bersabit kesalahan akhlak yang amat serius  dari kaca mata masyarakat Malaysia, iaitu perbuatan maksiat di kalangan  remaja. Menurut Menteri Perpaduan Negara dan Pembanguan Masyarakat, Datuk Napsiah Omar (Berita Harian, 3 Februari 1992), bilangan remaja  yang rosak ahklak masih tinggi. Pada tahun 1988, sebanyak 3978 kes dicatatkan, 4111 kes pada tahun 1989,  3763 kes pada tahun 1990  dan sebanyak 2658 kes sehingga bulan Oktober 1991.

Satu lagi tabiat  remaja  yang menampakkan potensi untuk menjadi gejala yang sukar dibendung adalah kegemaran  mereka membazir masa. Istilah yang popular digunakan kini adalah “budaya lepak”. Satu kajian   di dua buah rumah pangsa  di Kuala Lumpur mendapati sebanyak 90% remaja kaum Cina terus pulang ke rumah selepas sekolah, sebanyak 72% remaja kaum India  berbuat demikian dan hanya 5.8% remaja kaum Melayu pulang ke rumah selepas sekolah (Utusan Malaysia, 11 Mac 1993).

Punca Keruntuhan Akhlak

Daripada data dan statistik yang dibentangkan, terbukti keruntuhan ahklak di kalangan remaja masih pada tahap yang tinggi. Keruntuhan ahklak ini dapat dilihat  dari pelbagai sudut. Antara punca yang dikenal pasti adalah seperti berikut;

1. Salah satu faktor yang dikaitkan dengan keruntuhan akhlak remaja adalah penglibatan dalam jenayah. Remaja yang terlibat dalam jenayah bukan sahaja datang daripada keluarga yang miskin tetapi juga  keluarga berada, malah segelintir daripada mereka berasal daripada keluarga yang  mempunyai latar belakang yang baik.

Justeru, bolehlah dikatakan bahawa punca-punca keruntuhan akhlak  yang utama adalah kemerosotan dari segi asuhan, didikan, bimbingan serta kawalan oleh ibu bapa atau penjaga. Selain itu, tekanan  hidup, sikap mengejar kemewahan serta penglibatan dalam aktiviti sosial lain menyebabkan ibu bapa  dan anak kurang  mempunyai masa atau kesempatan untuk bercakap, berbincang, berdamping antara satu sama lain. Malah  ada yang jarang bersua muka. Keadaan ini menyebabkan remaja membawa cara hidup sendiri tanpa panduan dan pengawasan ibu bapa.

Keluarga yang terlalu mewah cara hidupnya  juga menyebabkan keruntuhan disiplin remaja. Sebagai contoh, ibu bapa yang terlalu memanjakan anak-anak kerap memberikan  wang saku  yang terlalu banyak. Perbuatan ini menyebabkan mereka mudah dipengaruhi  oleh remaja lain yang bersuka-suka. Kesan pergaulan  bebas dan terpengaruh dengan rakan-rakan sebaya  yang rosak akhlak akan memburukkan lagi keadaan. Juga sikap ibu bapa  yang tidak mengambil berat  tentang kelakukan dan pergaulan anak  remaja  mendorong pada kerosakkan ahklak. Remaja yang terlalu awal terdedah kepada alam masyarakat yang mempunyai sikap yang kompleks tanpa bimbingan mencukupi daripada ibu bapa juga merupakan  salah satu faktor keruntuhan akhlak.

Antara punca-punca lain keruntuhan akhlak yang berkaitan dengan hubungan kekeluargaan adalah alam rumah tangga yang tidak teratur, perpisahan ibu bapa, pertengkaran yang kerap berlaku dalam keluarga, keadaan sosio-ekonomi yang sempit, suasana rumah tangga yang tidak harmonis dan tenteram serta tidak keupayaan pihak penjaga mengawasi pendidikan anak-anaknya boleh juga membawa kepada kancah keruntuhan moral.

Justeru, sebagai ibu bapa  dan anggota masyarakat yang bertanggungjawab, kita seharusnya  menjalankan kewajipan dengan merancang  aktiviti, mengenal pasti masalah anak, memberi nasihat,  pedoman, memberikan kemudahan-kemudahan serta mengawal selia anak sepanjang masa.

2. Pengaruh persekitaran, luaran dan media massa juga sentiasa membentuk perilaku  para remaja yang masih mentah dalam menghadapi cabaran hidup. Pelbagai dorongan yang kurang sihat dipaparkan  melalui persekitaran ini yang seterusnya menyebabkan mereka terikut-ikut  dengan pengaruh ini. Lantaran itu untuk memenuhi keinginan ini, mereka merayau-rayau di pusat-pusat membeli-belah, pusat permainan video dan secara tidak langsung terlibat dalam pergaulan bebas.


3. Pengaruh di sekolah juga penting dalam pembentukkan akhlak remaja. Tekanan yang dihadapi pelajar semasa di sekolah kerana tumpuan terpaksa diberikan dalam akademik serta guru yang kurang profesional dalam menangani masalah pelajar yang bermasalah akhirnya menyebabkan pelajar mengambil jalan mudah untuk keluar daripada masalah itu dengan terlibat dengan kegiatan-kegiatan yang kurang sihat. Situasi ini didorong oleh kurang perhatian daripada ibu bapa di rumah.

Cara Mengatasi Masalah

Perbincangan  mengenai keruntuhan ahklak remaja adalah berkisar isu pelajar remaja. Justeru, strategi mengatasi masalah seharusnya ditumpukan pada golongan remaja  ini. Berikut beberapa saranan:

1. Peranan ibu bapa adalah amat penting dalam memberikan perhatian yang serius terhadap anak-anak mereka. Ibu bapa mestilah memperhatikan setiap gerak-geri atau pergerakan anak-anak mereka. Ibu bapa   hendaklah sentiasa mengetahui dan mengenal pasti masalah yang dihadapi oleh anak mereka serta sanggup meluangkan masa untuk mengatasai masalah tersebut. Ibu bapa juga seharusnya mengetahui rakan-rakan anak mereka dan sentiasa memastikan anak-anak mereka berkawan dan bergaul dengan mereka yang mempunyai kedudukkan moral yang baik. Selain itu ibu bapa hendaklah menghabiskan sebahagian daripada masa seharian bersama anak-anak mereka dengan memberikan keyakinan, keberanian, mewujudkan sikap positif terhadap masalah, emosi dan keputusan. Selain itu tingkatkan penghayatan anak-anak terhadap agama, nilai-nilai murni, motivasi, melatih anak cara bersopan, prinsip-prinsip akauntabiliti, tepati janji, berketerampilan, menunjukkan keperibadian yang mulia, amanah, sanggup menerima kelemahan diri serta meneroka potensi anak. Ibu bapa hendaklah menjadi role model kepada anak.

2. Pendekatan akademik. Ini boleh dilakukan dengan menambahkan aktiviti-aktiviti berteraskan akademik dan separa akademik  seperti kegiatan ko-kurikulum di sekolah. Begitu juga dengan perubahan-perubahan teknik-teknik pengajaran seperti penggunaan komputer, video, bantuan alat pandang dengar dan teknik pengajaran luar kelas.

3. Mewujudkan sistem perundangan di sekolah. Peruntukan undang-undang di peringkat sekolah boleh menimbulkan rasa takut di kalangan  pelajar sekolah, di samping mengurangkan beban dan tanggungjawab pihak sekolah dan pihak ibu bapa  dalam pengawasan disiplin.

4. Penguatkuasaan Undang-Undang oleh pihak berkuasa seperti polis. Bidang kuasa polis yang sedia ada perlu digunakan oleh pihak pentadbir sekolah dalam mendisiplinkan pelajar-pelajar. Pihak pentadbir hendaklah mengambil kesempatan dengan merujuk masalah pelajar ini kepada pihak polis.


5. Langkah-langkah pencegahan yang bersesuaian hendaklah diadakan seperti kaunseling di peringkat sekolah. Kaunseling di peringkat sekolah adalah penting dalam membantu remaja mengatasi masalah mereka. Program ini akan lebih bermakna sekiranya kaunselor-kaunselor yang berkelayakan dan berpengalaman dilantik dalam memantapkan pelaksanaan dan keberkesanan kaunseling tersebut.

6. Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) perlulah memainkan peranan yang penting. Pertemuan yang lebih kerap antara ibu bapa, penjaga dan guru perlu diadakan khasnya bagi pelajar-pelajar yang bermasalah. Ibu bapa seharusnya menerima teguran daripada guru dengan sikap terbuka dan positif. PIBG jangan lah jadi umpama “KUCING TAK BERGIGI, TIKUS LOMPAT TINGGI-TINGGI”

Kesimpulan

Pelbagai langkah boleh diambil dan dilaksanakan, tetapi apa yang lebih penting: ibu bapa mestilah memainkan peranan dan tanggungjawab dalam mengatasi masalah keruntuhan akhlak di kalangan remaja. Dengan kata lain, walau apapun langkah yang diambil oleh mana-mana pihak, tanpa kerjasama daripada ibu bapa, nescaya gejala ini sukar diatasi.




Remaja adalah pelapis ,jika mereka rosak maka negara akan dibanjiri manusia yang tidak berakhlak,tiada pendidikan,melakukan pelbagai kesalahan dan tidak akan berjaya dalam kehidupan.


Adakah kita memimpin remaja kita ke arah kebaikan dan kejayaan hidup?

Adakah kita peka dengan anak-anak remaja?

Adakah kita mendengar suara dan luahan mereka?

Adakah kita tidak ambil tahu mengenai masalah remaja kita?
 

Mereka bakal mewarisi negara kita..namun jika mereka tidak menjadi remaja positif,maka akan hancur binasa negara kita....

Fikir-fikirkan..................

KURSUS SURAU AR-RAUDAH

KURSUS            SURAU       AR-RAUDAH



1.Kursus Internet dan Komputer

*Pengenalan dunia komputer dan internet.
*Cara membaiki komputer / laptop
*Cara mudah membuat blog.
*Facebook : Manfaat dan Faedah
*Mendapatkan wang melalui internet.
*Soal jawab dunia  IT dan komputer.

Bayaran RM50.00 seorang. (Harga biasa RM250)

(Bayaran untuk menampung kos nota,sewaan  Projector Powerpoint dan sebagainya)

Kursus diadakan hari Sabtu sahaja 

(9  pagi hingga  7 malam bagi setiap kursus )

Peserta perlu membawa laptop dan buku catitan ketika kursus.

2.Kursus penulisan Kreatif.

*Tips menulis buku.
*Bagaimana menulis buku yang laris jualan?
*Kesalahan dan kelemahan yang perlu diperbaiki.
*Cara mudah menulis dengan cepat.
*Sumber rujukan dalam penulisan buku.
*Kiraan Royalti dan Hak Cipta.
*Soal-jawab dunia penulisan.

Bayaran RM50.00 seorang.(Harga biasa RM250)

(Bayaran untuk menampung kos nota,sewaan  Projector Powerpoint dan sebagainya)

Kursus diadakan hari Ahad sahaja 

(9  pagi hingga  7 malam bagi setiap kursus )

Peserta perlu membawa 10 buku yang dimiliki dan buku catitan

TERHAD  50 ORANG SAHAJA SATU SESI.

Pertanyaan :




 
“Semua manusia boleh menulis buku walaupun mereka hanya berpendidikan SPM.Menulis  adalah mudah namun memerlukan kemahiran.Jika Imam Nawawi rahimullah menulis 40 muka surat sehari  ketika zaman tiada fasiliti canggih seperti internet dan laptop ,mengapa kita hidup di zaman teknologi tidak boleh menulis?”

                     ~~ Saat Sulaiman ~~

  Biodata   Fasilitator 

Nama penuh : Haji Saat bin  Haji  Sulaiman

Nama Saintifik : Sata Saalimun

Kerjaya : Usahawan dan penulis

Pendidikan : Universiti Islam Madinah,Uitm.

Hobi : Berniaga,membaca,melancong,memanfaatkan internet,berdakwah,menulis dan lain-lain.

Buku telah terbit :

1.Panduan Menjadi  Ibu Bapa Cemerlang : PTS PUBLICATIONS SDN BHD.
2.Usahawan Kaya Wang Kaya Iman : PTS PUBLICATIONS SDN BHD.
3.Tips Menjadi Ibu Bapa Mithali : PTS PUBLICATIONS SDN BHD.
4.Buat Duit dengan Jual Pakaian : PTS PUBLICATIONS SDN BHD.
5.Usahawan Cemerlang : UTUSAN PUBLICATIONS
6.Anak adalah Anugerah : UTUSAN PUBLICATIONS
7.Remaja Positif : UTUSAN PUBLICATIONS

Buku akan terbit :       
      
1.Keluarga Cemerlang : Telaga Biru Sdn Bhd.

Cerpen :
1.Hujan Emas : BERITA MINGGU 2004

Rencana
1.Pilih Jenis Bisnes yang Betul :MELAKA HARI INI.

Kejayaan : 

Buku Remaja Positif terpilih sebagai buku yang mendapat tempat pembelian terus dengan penulis oleh Perpustakaan Negara Malaysia (PNM)  untuk diletakkan di perpustakan Desa seluruh negara.Manakala buku Usahawan Kaya Wang Kaya Iman menjadi buku best-seller di kedai buku MPH dan terpilih dalam program Kaya Wang Kaya Iman Usrah TV9.

Sumbangan :

Pernah memberi  ceramah motivasi percuma kepada pelajar  Melayu sekolah Menengah  dan rendah di Melaka / Negeri Sembilan .Juga  memberikan  latihan dan kursus bisnes pakaian  percuma kepada orang miskin negeri Melaka.

 Mengendalikan Bicara Buku di Perpustakaan Jabatan Perdana Menteri,MPH Alamanda,MPH Midvalley,Pesta Buku PWTC dan sebagainya.

Emel : saat@streamyx.com




CERPEN : HUJAN EMAS

Berita Harian, 10hb Oktober, 2004.


SATA Saalimun nama pena bagi Saat Sulaiman, bakat baru dalam dunia penulisan kreatif, menerima pendidikan di Universiti Islam Madinah dan Universiti Teknologi Mara (UiTM), kini bergelar ahli perniagaan.






HUJAN emas di negeri orang, hujan batu di negeri sendiri, lebih baik di negeri sendiri.Kerajaan yang menyekolahkan kau, MARA yang memberi biasiswa hingga kau berjaya mendapat ijazah di Universiti Harvard. Mengapa pilih Amerika?," itulah kata-kata arwah ayahnya ketika Affan membuat keputusan untuk bekerja di Amerika Syarikat selepas menamatkan pengajiannya. 

Setelah lima tahun berkhidmat di negara Uncle Sam itu, Affan mula gelisah dan rindu pada tanah air. Pesanan ayahnya terngiang-ngiang di telinganya. Impian ayahnya untuk melihat anaknya berkhidmat di negara sendiri tidak terlaksana.

Dia memilih Amerika kerana ganjaran dan gaji yang lumayan, kemudahan dan seronok dengan kehidupan di negara maju. Malah ketika ayahnya menghembus nafas terakhir, dia berada di Kanada mengikuti kursus yang dianjurkan oleh syarikatnya. Hanya bacaan Al-Fatihah mengiringi pemergian ayah tersayang.

"Maafkan Affan kerana tak dapat balik. Sekarang Affan di Kanada. Assalamualaikum," begitulah jawapan ringkas apabila ibunya menghubungi untuk memberitahu kematian ayahnya.

Memang sedih tidak dapat menatap wajah ayahnya buat kali terakhir. Kewajipan dan tugas perlu diutamakan. Di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung. Itulah kata-kata ibunya apabila dia mula menjejakkan kaki di Amerika untuk melanjutkan pelajaran.

Memang susah untuk membuat keputusan apabila mendapat berita kematian ayahnya.

Namun Affan tekad untuk meneruskan kerjanya demi menunaikan tanggungjawab sebagai pekerja. Jika dia pulang ke tanah air pun, ayahnya tak akan bernafas semula.

"Kerajaan mengeluarkan perbelanjaan yang besar untuk menghantar pelajar Melayu melanjutkan pelajaran di luar negara supaya mereka mendapat pengetahuan, pengalaman, kemahiran. Kamu mestilah menceduk dan menimba pelbagai ilmu kemajuan di negara asing supaya dapat dipraktikkan di negara kita apabila kamu balik berkhidmat nanti.

Jika kamu sayangkan negara, belajarlah bersungguh-sungguh dan berkhidmatlah di tanah air setelah menamatkan pengajian nanti,". Begitulah ucapan Datuk Wira ketika majlis penyampaian biasiswa kepada pelajar-pelajar Melayu yang mendapat peluang melanjutkan pelajaran di luar negara. Ketika ucapan itu masuk ke telinganya di dalam bangunan PWTC, Kuala Lumpur, semangat ingin berjaya dengan cemerlang berkobar-kobar dan impian untuk berkhidmat di tanah air ditanam di sanubari.

Namun segalanya berubah apabila berada di Amerika. Tika di tahun akhir pengajian, tawaran dari syarikat komputer terkenal, MICROSOFT, sampai di tangannya. Tawaran gaji dan pelbagai kemudahan menyebabkannya berubah fikiran. Keinginan berkhidmat di tanah air setelah tamat pengajian telah terkubur.

Setelah tamat pengajian, Affan balik ke tanah air untuk berehat beberapa bulan di samping menyampaikan berita gembira kepada keluarganya namun tidak diterima oleh ayahnya. Ayahnya menolak keras kemahuannya ingin bekerja di Amerika Syarikat.

"Kamu dah ada ijazah, apa yang kamu susah? Sini pun tak kurang hebat, ada syarikat

TELEKOM, TNB, RENONG dan lain-lain. Kamu boleh dapat kerja!," bentak ayahnya pada satu petang apabila Affan memberitahu keinginannya bekerja dengan MICROSOFT.

Namun Affan tetap dengan keputusannya. Dia meninggalkan tanah air dan bekerja di Amerika walaupun tanpa restu ayahnya, manakala ibunya hanya bersikap berdiam diri.

Pemergiannya ke Amerika hanya diiring ibunya di KLIA, Sepang. Ayahnya teramat marah dan kecewa dengan keputusannya. Tanpa restu ayah, memang membuatkan Affan agak serba salah. Namun keinginan dan ketamakan mendapat gaji dan ganjaran lumayan telah mengabui matanya. 

"Mak, maafkan Affan. Affan tak dapat memenuhi permintaan ayah. Kirim salam pada ayah," katanya ringkas ketika dia ingin memasuki lobi berlepas. Ibunya hanya menitikkan air mata. 

"Mak akan mendoakan kejayaan dan kebahagiaan Affan di mana pun berada. Ingat pesan mak, di mana bumi dipijak, di situ langit dijunjung! Jaga diri baik-baik…," pesan ibunya terputus putus akibat menahan tangisan.

Penerbangan ke Amerika dirasakan amat jauh sekali. Fikirannya menerawang. Teringat kenangan manis bersama ayahnya. Ayahnya menghantar ke sekolah ketika dia berumur enam tahun menaiki basikal buruknya. Air matanya merembes teringat kenangan silam.

Ayahnya selalu menceritakan kisah datuknya yang mempertahankan tanah air hingga 

terkorban. Ayahnya selalu menanam sifat patriotik dan sayangkan tanah air.

Setelah setahun bekerja, Affan membuat keputusan mendirikan rumah tangga dengan wanita tempatan yang juga rakan sekerja. Mereka dikurniakan dua cahaya mata, lelaki dan perempuan. Walaupun berada di negara asing. Affan mendidik kedua anaknya agar mampu menggunakan bahasa Melayu. Bahasa Melayu mesti dikekalkan kerana bahasa melambangkan bangsa. Meskipun jauh dari tanah air, agama dan bangsa tidak pernah dilupakan. Didikan agama yang disemai oleh ibu bapanya semenjak kecil tetap dipraktikkan walau berada di negara asing. 

Tinggal di kota Washington memang benar-benar menguji keimanan. Ramai hanyut 

dalam budaya dan cara kehidupan Barat. Persetubuhan tanpa nikah, filem lucah adalah perkara biasa di kota ini. Masyarakat di sini hanya mementingkan keseronokan dan kebendaan. 

Corak kehidupan dan gaya hidup moden masyarakat kota membuatkan Affan termanggu-manggu. Perbezaan dan jurang amat ketara jika dibandingkan dengan tanah air. Mujurlah didikan ibu bapa mampu menjadi benteng kepada Affan supaya tidak hanyut dalam budaya asing.

Kunjungan Perdana Menteri Malaysia ke kota Washington membuka minda Affan.

Antara inti pati ucapannya di ‘Malaysia Hall’ yang dihadiri oleh rakyat Malaysia yang menetap di Amerika: 

"Negara kita masih kekurangan jurutera, doktor, saintis dan pakar dalam pelbagai bidang terutamanya sains dan teknologi. Jika kamu mempunyai kepakaran dan kemahiran yang diperlukan oleh negara, berbakti dan berkhidmatlah di tanah air. Kerajaan memang tidak mampu membayar gaji yang lumayan sebagaimana yang kamu dapati di negara maju seperti Amerika tetapi jika kamu balik dan berkhidmat di negara kita, kemajuan dan pemodenan akan lebih cepat terhasil. Jika kita menjadi negara maju dengan lebih cepat, kerajaan akan mampu membayar gaji yang lumayan sebagaimana yang kamu peroleh di sini. Tanah air banyak berjasa kepada kita, jadilah warga yang membalas jasa dan mengenang budi dengan berkhidmat di tanah air,".

Ucapan penuh emosi yang dilontarkan oleh perdana menteri membuat Affan benar-benar tersentak dan terpegun. Ia membuatkan Affan kembali mempunyai semangat dan kemahuan berbakti di negara sendiri.

"Ain, Abang nak berbincang," Affan memulakan bicara. Ain adalah panggilan manja isterinya yang bernama Norainah binti Abdullah.

"About what?" jawab isterinya dalam bahasa Inggeris. 

"Abang nak balik ke Malaysia dan bekerja di sana. Cukuplah lima tahun berbakti di negara orang, abang nak berkhidmat untuk negara sendiri,".

“Up to you!" balas isterinya tidak acuh.

"Ain bagaimana? Nak ikut tak?," Affan cuba menduga.

"I'm with you where ever, what ever…," jawab isterinya dengan yakin.

Setelah berfikir panjang, Affan dan keluarga membuat keputusan untuk balik ke Malaysia. Affan merasa sedih dan terharu dengan pengorbanan isterinya yang sanggup meninggalkan keluarga di Amerika demi menurut suami tersayang.

"Amerika dah buang kau ke?," sindir kakaknya, Intan apabila Affan memberitahu hajatnya ingin pulang ke tanah air.

"Hujan emas di negeri orang…,” balasnya ringkas.

"Harap-harap keputusan kau tak berubah…," tegas kakaknya.

Affan mula mengemaskan barang-barang dan pakaian, menjual apartmen yang dibelinya dua tahun lalu, menyiapkan segala dokumen untuk pulang ke tanah air.

Surat berhenti kerja telah dihantar kepada pengerusi syarikat. Mr Bill, pengerusi syarikat menemui Affan dan menjelaskan kepada Affan bahawa dia tidak menerima surat peletakan jawatan.

"You can still be my worker, although not here," jelas Mr Bill.

"What do you meant,” tanya Affan.

"We will open new branch in Kuala Lumpur and you will be a marketing manager there," jelas Mr Bill dengan slanga Amerikanya. Affan amat gembira dengan berita itu.

Ternyata keputusannya pulang ke tanah air tidak silap. Bukan sahaja dapat berjasa kepada negara tercinta tetapi juga dapat memajukan teknologi komputer dengan menjadi pengurus MICROSOFT di Malaysia.

Kepulangan Affan dan keluarga disambut dengan gembira terutama ibunya. Ibunya tidak dapat menahan air mata kegembiraan apabila anak lelaki kesayangannya terpacul di muka pintu rumahnya.

"Apa khabar mak?", Tanya Norainah kepada ibu mentuanya dengan slanga tersendiri.

"Baik, nak. Orang putih pun pandai cakap Melayu!" gurau mentuanya.

Selepas mengemaskan barang-barang, Affan meminta izin ibunya untuk menziarahi pusara ayahnya. Di pusara, Affan membaca surah Yasin dan berdoa:

"Ya Allah, Tuhan Maha Pengampun, maafkanlah dosaku dan dosa ayahku. Rahmatilah dan kasihanilah ayahku yang banyak berjasa dan berbakti kepadaku. Limpahilah rahmat dan nikmat kepada ayahku," air matanya mula merembes.

Walaupun agak terlewat, namun Affan dapat menunaikan impian ayahnya untuk berkhidmat di tanah air walaupun kepulangannya agak menyedihkan kerana ayahnya telah pergi buat selamanya.

Affan bertekad akan mendidik anak-anak sayangkan tanah air, berjasa kepada bangsa, agama dan negara. Sebagaimana ayahnya menanam ke dalam jiwanya sayangkan tanah air, begitulah akan dilakukan kepada anak-anak.

                                             TAMAT


HAKCIPTA TERPELIHARA @SAAT SULAIMAN 2012